17 June 2015

Ada Apa Dengan Ramadhan?

[Kredit]

Saya tahu, saya tahu.

Di luar sana, sudah berlambak-lambak artikel dan penulisan tentang Ramadhan. Malah tulisan-tulisan tersebut saya yakin jauh lebih bagus dan mantap daripada apa yang bakal saya nukilkan.

Malah saya sendiri, rasanya setiap tahun sejak saya menulis belog ini, pasti akan ada artikel yang berbicara tentang Ramadhan. Termasuklah tahun ini. Eheh. 

Nah, apa istimewanya Ramadhan di dalam kehidupan kita? Apa signifikannya dipertemukan dengan bulan Ramadhan, berbanding dengan bulan-bulan yang lainnya?

Dengan kata lain, ada apa dengan Ramadhan? 

Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu bertanyakan beberapa lagi soalan. Soalan yang dijawab dengan soalan. Harap tidak pening kepala lah. Wahaha. 

Soalan yang pertama, bagaimana kita sendiri melihat Ramadhan itu? 

Adakah ia sekadar satu lagi bulan dalam bulan-bulan kalendar Islam? Adakah ia bulan yang kita terpaksa berlapar dan berdahaga di siang hari untuk sebulan lamanya? Adakah ia satu-satunya bulan yang kita boleh dapatkan stok ayam percik dan lompat tikam tanpa had dan tanpa orang jeling semacam pada kita? Err.

Sekiranya itulah mentaliti yang berlegar-legar di kepala kita, langkah pertama yang perlu kita lakukan adalah ubah dan tajdid mentaliti ini. Baharulah kita dapat memaknai Ramadhan dalam erti katanya yang sebenar. 

Makna Ramadhan dapat disimpulkan dalam satu ayat ini:

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa."
[al-Baqarah, 3:183]

Ya, saya tahu, ia klise. Tapi seklise mana pon ia, itulah hakikatnya. Dan meskipon ia klise, berapa ramai daripada kita yang benar-benar memaknainya? Gulp.

Mulai dari sekarang, kita wajib melihat Ramadhan itu sebagai suatu bulan tarbiyah yang menyediakan pelbagai ruang dan peluang untuk kita menjadi lebih baik. Kita perlu melihat Ramadhan itu sebagai platform untuk kita berubah dan menjadi lebih dekat dengan Allah. Kita mesti melihat Ramadhan itu sebagai tempat untuk kita memperbanyak amal dan mengurang dan membuang terus semua kemungkaran dan maksiat yang mungkin menjadi kebiasaan kita.

Pendek kata, Ramadhan itu adalah sebuah madrasah untuk mendidik kita menjadi seorang pelajar yang bertaqwa. 

Sekiranya kita berjaya menanamkan mentaliti sebegini, percayalah, kita tidak akan melihat Ramadhan dengan pandangan yang sama lagi. Kita akan menjadi sangat teruja menantikan kehadiran Ramadhan. Kita akan memanfaatkan masa-masa yang ada di dalam bulan Ramadhan dengan sebaik-baiknya dan tidak akan membazirkannya dengan upacara menghasilkan air liur basi, tawaf qudum di bazar dan berterawih di Masjid India. Eheh.

Siang-siang hari kita di bulan Ramadhan tidak akan sama lagi. Terawih dan tahajjud kita tidak akan sama lagi. Sahur dan berbuka kita tidak akan sama lagi. Tilawah dan tadabbur kita tidak akan sama lagi. Iktikaf kita tidak akan sama lagi. Malah ziarah kita ke bazar Ramadhan dan aktiviti moreh juga tidak akan sama lagi. Percayalah. Senyum.

Kedua, sudah menjadi fitrah manusia biasa, kita amat sukakan hadiah dan insentif. Tiada seorang pon di seluruh alam semesta ini, yang tidak sukakan hadiah dan ganjaran yang lumayan. Hadiah dan ganjaran akan menjadikan kita termotivasi untuk berbuat sesuatu.

Maka kita juga perlu ambil tahu, apakah hadiah dan ganjaran yang Allah telah sediakan untuk kita di bulan Ramadhan?  

Sudah tentu, ada banyak dalil-dalil terutamanya hadith-hadith yang sahih yang menceritakan kepada kita fadhilat bulan Ramadhan. Maka ijinkan saya untuk berkongsikan beberapa hadith peberet saya tentang bulan Ramadhan:

Hadith 1

"Siapa berpuasa Ramadhan imanan wa ihtisaban (dengan keimanan dan mengharap pahala), diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." 

(HR. Bukhari dan Muslim)

Hadith 2

"Apabila tiba bulan Ramadhan, maka dibukakan pintu-pintu sorga, ditutuplah pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu."

(Hadith riwayat Muslim)

Hadith 3


“Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat dan Ramadhan ke Ramadhan merupakan penghapus dosa di antaranya selama mana dijauhi dosa besar.”

(Hadith riwayat Muslim)

Hadith 4  

"Setiap amalan anak Adam akan dilipatgandakan pahalanya, satu kebaikan akan berlipat menjadi 10 kebaikan sampai 700 kali lipat. Allah 'Azza wa Jalla berfirman, ‘Kecuali puasa, sungguh dia bahagianku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, kerana (orang yang berpuasa) dia telah meninggalkan syahwatnya dan makannya kerana Aku.’ Bagi orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan; gembira ketika berbuka puasa dan gembira ketika berjumpa Tuhannya dengan puasanya. Dan sesungguhnya bau mulutnya lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi.”

(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadith 5

“Apabila tiba malam pertama Ramadhan akan dirantai segala syaitan dan jin-jin yang sesat, ditutup segala pintu neraka hingga tidak ada satu pintu pon yang dibuka, dibuka segala pintu sorga hingga tidak ada satu pintu pon yang ditutup. Seorang penyeru (yakni Malaikat) akan berseru, 'Wahai orang yang mengejar kebaikan! Tampillah kamu. Wahai orang yang ingin melakukan kejahatan! Undurlah kamu (yakni berhentilah dari melakukan kejahatan).' Akan terdapat orang-orang yang bakal dibebaskan Allah dari api neraka. Hal demikian itu berlaku pada setiap malam (di sepanjang Ramadhan).”

(Riwayat Imam at-Tirmizi, Baihaqi dan Ibnu Hibban dari Abu Hurairah r.a.) 

Apa macam?  Tak rasa seronok tahap gaban kah membaca hadith-hadith di atas? Tidak rasa seperti mahu beramal sebanyak-banyakkah sepanjang bulan Ramadhan ini? 

Tawaran penghapus dosa ada. Tawaran lipatkali ganda pahala ada. Tawaran terbuka pintu soga dan tertutup pintu neraka ada. Tawaran untuk tidak lagi diganggu langsuir dan hantu pocong pon ada. Eh.

Hanya orang-orang yang berhati keras dan hitam penuh dengan maksiat sahaja yang tidak terasa apa-apa dengan promosi ekstravaganza ini! Gasp.

Dan yang ketiga, untuk mengetahui apa istimewanya Ramadhan ini, kita juga perlu ambil tahu, bagaimana orang-orang dahulu memaknai Ramadhan mereka. Kerana jangan buat-buat tak perasan, di dalam ayat 183 surah al-Baqarah yang dibaca sebentar tadi, disebut dengan jelas, "...sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu."

Nah, sekiranya kita menelusuri sejarah, kita pasti akan berasa malu, teramat malu sehingga bolehlah berlari keliling bandar dengan t-shirt menutup muka apabila mengetahui peristiwa-peristiwa hebat yang berlaku di bulan yang mulia ini.

Antaranya termasuklah:
  • Turunnya Jibril AS menyampaikan risalah kerasulan kepada Muhammad SAW 
  • Perang Badar (Badr al-Kubro)
  • Perang Khandaq/Ahzab
  • Fathu Mekah (Pembukaan kota Mekah oleh umat Islam)
  • Hancurnya berhala-berhala utama di Mekah; al-Uzza, Suwa’ dan al-Manat
  • Peperangan Tabuk
  • Tariq bin Ziyad berjaya mengalahkan Raja Roddrick di Andalus
  • Pembebasan al-Quds oleh Salahuddin al-Ayyubi
  • Umat Islam menewaskan tentera Tartar di Ain Jalut
Wow! Depa ni tak penat ke Inche gabbana, berperang dalam keadaan berpuasa..?? 

Ha itulah bezanya depa dengan kita!

Kita ni, baru berlapar dan dahaga sikit, dah macam kebuluran setahun! Baru terawih lapan rakaat, penatnya macam pergi beperang sepanjang hari! Baru bangun malam untuk tahajjud dan sahur, dah tak larat lemah longlai pada siang harinya. Alahai.

Mujurlah masih ada saudara-saudara kita di Palestin yang membuktikan ruh Ramadhan itu masih lagi hidup dan segar di zaman ini. Peperangan Asfim Maakul dan peperangan al-Furqan contohnya, yakni peperangan melawan kekejaman dan pencerobohan Israel laknatullah, kedua-duanya berlaku di bulan Ramadhan! Subhanallah!

Untuk mereka ini, Ramadhan bukan bulan untuk berlapar semata-mata! Untuk mereka, Ramadhan bukan bulan untuk meninggalkan perkara-perkara yang sudah menjadi kebiasaan yang boleh membatalkan puasa sahaja! Untuk mereka, Ramadhan bukanlah bulan yang memenatkan dan meletihkan!

Namun untuk mereka, Ramadhan adalah bulan untuk mereka memperbanyak amal kebaikan. Untuk mereka, Ramadhan adalah bulan untuk mereka berlumba-lumba, siapakah dalam kalangan mereka yang paling baik dan bersungguh amalannya. Untuk mereka, Ramadhan adalah bulan yang cukup menghidupkan!

Kerana mereka benar-benar memaknai bahagian 'agar kamu bertaqwa' itu! Aiwah!

Nah, bagaimana? Adakah sekarang anda merasakan Ramadhan itu benar-benar istimewa dan penuh bergaya? Adakah kini anda tidak sabar-sabar untuk menyambut Ramadhan dan berazam untuk memenuhkan Ramadhan anda dengan sebanyak-banyaknya amalan kebaikan?

Jika ya, tahniah!

Jika belum, anda masih punya masa untuk bermuhasabah!

Kerana Ramadhan itu bukanlah bulan untuk orang-orang yang baik sahaja. Tetapi yang lebih utama daripada itu, Ramadhan adalah bulan khas untuk orang menjadi baik! Wah!

Moga-moga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang paling bermakna buat kita!

Moga-moga Ramadhan kali ini bakal menjadi saksi kepada perubahan kita!

Dan moga-moga Ramadhan kali ini, kita bakal terpilih menjadi hambaNya yang bertaqwa!

Moga-moga!

-gabbana- 

Di kesempatan ini, saya dengan penuh rasa syukur dan rendah hati, ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak 1436H kepada seluruh umat Islam, terutamanya umat Islam di Malaysia. Lebih utama lagi, para peminat tegar APG yang terus setia membaca belog ini. Hehe.

Moga Ramadhan kali ini benar-benar menjadikan kita manusia berjiwa hamba. Senyum.
  

4 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 18/06/2015, 00:00  

Ramadhan Kareem!

Anonymous 18/06/2015, 19:48  

Moga kita cemerlang sepanjang Ramadhan ini. Selamat berbuka puasa.

Anonymous 20/06/2015, 07:56  

semoga Ramadan kali ini Ramadan terbaik dri sebelumnya..Jom jadikan ramadan titik tolak perubahan...
nice post...
tq.

Anonymous 22/06/2015, 07:20  

Dah alang alang kat sini hehe

Assalamualaikum ig. Thanks sangat sebab bagi kuiz tajwid kat twitter haha confius jap idgham n izhar mutlaq. Siap post gambar tu dekat group ws sek men kot hahaha ramai respon pulak tu. Bagus ig. Kipidap!! :D

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP