Bukan, ini bukan sambungan kepada 'Bukan, Ini Bukan Kisah Seram.' Jadi jangan rasa kecewa atau mahu terus terjun daripada tingkat tiga puluh tiga pejabat anda. Wahahaha..
Semalam saya melakukannya lagi. Peluh besar. Kali ini lebih ganas lagi. Ikuti kisah yang menyayat hati berikut...
Saya dalam perjalanan ke Kolej Yang-Namanya-Dirahsiakan untuk sesi Syahadatul Haq (SH) ketika makhluk-makhluk lain sedang sibuk mencucuk diri bervel-vel di kuil-kuil di seluruh negara. Sungguh ironik. Saya berhenti di kawasan Rehat & Rawat Rawang untuk menikmati juadah sarapan pagi untuk diri saya dan juga Inche kereta. Ketika berada di dalam Kedai Mesra, hadek H menelefon dan meminta tolong untuk membelikan beberapa banyak helai sampul surat. Memandangkan di kedai Mesra tiada sampul surat, saya meneruskan perjalanan dan bercadang untuk berhenti di Bukit Beruntung mencari kedai yang menjual sampul surat.
Setibanya di Bukit Beruntung, saya mencari-cari kedai yang berpotensi menjual sampul surat. Akhirnya berjumpa dengan sebuah kedai yang kelihatannya agak bergaya daripada luarnya dan disebabkan itulah saya memilihnya. Hohoho.. Dan pilihan saya tepat memandangkan kedai tersebut memang ada menjual sampul surat.
Saya mengambil beberapa ikat sampul surat berwarna cokelat dan ke kaunter untuk membuat pembayaran. Ketika tangan kanan menyeluk saku belakang untuk mengambil beg duit, tiba-tiba muka saya bertukar menjadi putih, seputih salju. Beg duit tiada di dalam saku.
Saya buat-buat kool di hadapan juruwang padahal menggelabah puyuh. Seriyes cuak. Kemudian saya berpatah balik ke bahagian sampul surat, kot-kot tercicir di situ.
Tiada. Satu badan saya kejang. Dalam kepala macam-macam yang saya fikirkan. Antara yang melintas di kepala termasuklah persediaan untuk menyiapkan sistem pertahanan daripada serangan bom atom Puan Mama dan sub-mesingan Inche Papa. Juga sudah berkira-kira untuk mengambil cuti setengah hari keesokannya (hari ini) untuk pergi membuat kad pengenalan dan lesen memandu yang baru.
"Ane, sorry ah.."
Saya terus keluar daripada kedai tersebut dan kembali ke kereta. Saya mencari-cari beg duit di dalam kereta, kot-kot tercicir di mana-mana. Hampagas. Malah dek tekanan perasaan yang sangat hebat, saya turut mencari di tempat yang mustahil beg duit saya boleh berada di situ. Lantas saya memutuskan untuk meneruskan perjalanan sahaja. Terfikir juga untuk berpatah balik ke Rawang, manalah tahu tercicir di situ.
Akhirnya saya memutuskan untuk terus ke Kolej Yang-Namanya-Dirahsiakan sahaja. Tambahan pula saya sudah agak terlewat ketika itu. Walau apa pon yang terjadi, SH mesti diteruskan. Sungguh ketika itu kuat betul syaitan berbisik untuk saya membatalkan sahaja sesi SH pada hari itu.
"Beg duit lebih penting oyy! Ada IC, lesen sume dalam tu..! Kau sanggup ke kena marah nanti..?? Nak kena bayar denda lagi. Kau tu dah dua kali dah hilang IC..! Patah balik, patah balik..!"
Tergugat juga iman ketika itu. Tetapi alhamdulillah, saya kuatkan semangat dan amat yakin yang ini adalah ujian yang mikro-kecil buat saya. Terlintas di kepala ketika itu:
"Am hasibtum antadkhulul jannah... Apakah kamu kira kamu akan masuk syurga...??"
[al-Baqarah, 2:208]
Terlintas juga di hati:
"Ya Allah.. Ujian apakah ini..? Beratnya ujianMu.."
Astaghfirullah.. Apabila saya bermuhasabah balik, terasa amat malu yang saya boleh terfikir sebegitu. Padahal takde apa pon ujian tu. Secoet jah. Kata nak masuk syurga.. Baru kena jentik sikit, dah menggelupur..! Astaghfirullah... Astaghfirullah..
Arakian saya teruskan juga perjalanan ke Kolej Yang-Namanya-Dirahsiakan. Amanah tetap perlu dilaksanakan. Beg duit boleh diganti. Kad pengenalan boleh dibuat semula; berapa sangatlah pon dendanya. Duit yang hilang boleh dicari. Namun peluang untuk buat SH tidak datang selalu.
Setibanya saya di Kolej Yang-Namanya-Dirahsiakan, saya disambut oleh Pak Cik M yang bertanggungjawab menjaga hal-ehwal dakwah dan tarbiyyah di kolej tersebut. Entah mengapa, saya terus menceritakan kepadanya apa yang berlaku kepada saya. Mukanya sedikit terkejut dan menunjukkan tanda simpati.
Entah bagaimana, selepas meluahkan apa yang terjadi kepadanya, saya teringat yang pada resit Petronas yang saya simpan, kalau tak silap saya tertulis nombor telepon stesen minyak tersebut. Lantas saya bergegas ke kereta dan mendapatkan resit tersebut. Dan betullah sangkaan saya, memang ada tertulis nombor telepon stesen minyak tersebut. Apa lagi, saya pon segera mendail nombor yang tertera.
"Hallo, stesen Petronas R&R Rawang."
"Hallo assalamu a'laikum. Saya... Saya.. Err, ada wallet tertinggal tak..?"
"Wallet..? Ha ada ada."
Allahu akbar..!
"Oh boleh tolong periksa tak tu wallet saya ke tak..?"
"Sebentar ye cik."
Kedengaran suara-suara latar di belakang.
"Hallo..."
"Ha hallo. Wallet tu wallet XXX (nama Inche gabbana) ke..?"
"Ni ada kad LSE.."
Kompem la tu...! xD
"Alhamdulillah, betullah tu. Nanti saya datang amik, tengah hari camtu. Boleh ke..?"
"Boleh boleh. Nanti encik datang, minta jumpa Puan Erma ye..? Wallet ni dalam pejabat."
"Ok ok. Jumpa kat mana wallet tu..?"
"Atas kaunter."
Peluh besar.
"Oooh.. Ok ok. Terima kasih banyak-banyak ye? Assalamu a'laikum."
"Sama-sama."
Lega sangat rasa hati. Alhamdulillah.. Pada masa yang sama, berasa sedikit kecewa dengan diri kerana tidak mahu belajar lagi daripada kesilapan yang lalu! Dahla tinggal atas kaunter pulak tu.. Kalau tercicir tu lain cerita, ni TERTINGGAL atas kaunter. Betapa cuainya dan lalainya diri....
Namun selepas mengkompemkan yang beg duit saya telah dijumpai, saya lebih bersemangat untuk menyampaikan SH. Kalau tidak memang agak down la jugak. Dipendekkan cerita, selepas selesai SH, saya bergegas untuk pulang kerana pada pukul tiga petang hari yang sama, saya ada temu janji yang lain pula.
Saya terpaksa membuat pusingan di plaza tol Rawang untuk menghala semula ke arah Utara. Mujurlah saya tidak terlepas R&R Rawang, jika tidak terpaksa berpusing sekali lagi. Seusai memparkir kereta, saya terus bergegas masuk ke dalam kedai Mesra dan minta untuk berjumpa dengan Puan Erma. Dan Puan Erma hanya tersenyum melihat saya.
Dia menyerahkan beg duit saya. Alhamdulillah tiada apa yang hilang. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepadanya, sambil berborak-borak juga bagaimana beg duit itu boleh ditinggalkan di atas kaunter. Dan anda tahu apa yang terjadi sebelum saya keluar daripada tempat itu..? Saya sempat menambah nilai kad Sentuh dan Pergi (Baca: Touch 'n' Go) saya di kaunter pembayaran dan selepas membuat pembayaran, saya lupa pula untuk mengambilnya semula. Ya Rabbi.... Mujurlah Puan Erma sempat mengingatkan saya sambil mengusik,
"Ni dah memang habit dah ni.."
Zaaaasssss. Hati saya terkoyak sebelas bahagian ketika itu juga.
Tetapi memang betul. Saya sejak dahulu lagi memang amat terkenal dengan sifat kecuaian dan acuh tak acuh saya. Sehinggakan Puan Mama tidak lagi hairan setiap kali berlaku sesuatu kejadian yang disebabkan oleh kecuaian saya. -___-" Dah jadi macam darah daging pula. Uih.
Selepas membuat pusingan di Bukit Beruntung, saya memecut pulang. Dan sepanjang perjalanan, saya memikirkan apakah yang boleh saya lakukan untuk memperbaiki sifat saya yang amat merugikan ini. Banyak juga kaedah yang telah saya cuba. Tetapi setelah beberapa lama, kealpaan dan kelalaian saya datang semula. Mungkin bukan dalam hal yang sama, tetapi pada hal yang lain pula.
"Sesungguhnya manusia itu tergesa-gesa.."
[al-Isra', 17:11]
Apa pendapat anda..? Anda mungkin ada cara atau resipi untuk mengubat 'penyakit' saya ini..? Jika ada silalah berkongsi..! Oh saya amat memerlukannya...!
-gabbana-
Pape pon, amat bersyukur dan gembira kerana tidak perlu bercerita kepada Inche Papa dan Puan Mama tentang insiden yang berlaku! Wahahaha.. ^__^" Sssshhhh.